September 20, 2024

Pengajar kelas renang dihukum penjara 263 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas 32 pertuduhan rogol, amang seksual dan melakukan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya.

Hukuman diputuskan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam dalam prosiding berasingan selepas tertuduh yang berusia 36 tahun mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman pemenjaraan selama 35 tahun selepas mahkamah membenarkan hukuman berjalan secara berperingkat mengikut pertuduhan.

Terdahulu, tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah terhadap 12 pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376(2)(d) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (KK) serta amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Dia juga mengaku salah atas lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek mengikut Seksyen 377CA KK.

Semua kesalahan itu dilakukan terhadap seorang remaja perempuan kini berusia 16 tahun antara Januari 2020 hingga 14 Mac lalu di sebuah rumah di Taman Maju Jasin.

Seksyen 376(2)(d) dan Seksyen 376(1) masing-masing memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan dan penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 pula boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan manakala kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377CA Kanun KK membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, N Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim yang menuntut hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Pendakwaan turut membacakan keterangan impak mangsa (VIS) yang menimbulkan suasana pilu antara lain mendedahkan mangsa berasa perit, jijik pada diri sendiri akibat peristiwa hitam menjadi pemuas nafsu bapa tiri hampir setiap hari sejak Januari 2020 ketika berusia 13 tahun.

Malah, Sivashangari sendiri turut sebak dan tidak dapat meneruskan pembentangan VIS dan terpaksa diganti oleh Aliff Asraf.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan ditemani isteri merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai anak kecil serta perlu menjaga ayah yang sakit.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun penjara berserta satu sebatan bagi setiap kesalahan rogol; penjara tujuh tahun dan satu sebatan (seks guna objek) dan penjara enam tahun (amang seksual).

Tertuduh juga diperintah menjalani kaunseling pemulihan sepanjang hukuman selama tiga tahun serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *