September 20, 2024

Seorang wanita yang jatuh cinta dengan ahli kumpulan penjenayah Nigeria menjalankan penipuan cinta dari Malaysia, kemudiannya menjadi keldai wang untuk membawa keluar hasil penipuan dari Singapura.

Semalam, warga Singapura, Faridah Rashid, 51, mengaku bersalah atas satu tuduhan berurusan dengan faedah hasil daripada perbuatan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara 18 minggu.

Antara 7 dan 22 Februari 2019, akaun bank Faridah digunakan untuk menerima SGD$65,000 (RM218,469) daripada beberapa mangsa penipuan di Singapura.

Faridah akan mengeluarkan wang berkenaan dan membawanya ke Malaysia untuk diberi kepada Awolola Oladayo Opeyemi.


Faridah adalah warga Singapura kedua yang dikaitkan dengan lelaki Nigeria itu kerana berperanan sebagai keldai wang.

Februari lalu, Suhaili Suparjo, 33, dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan selepas dia mengaku bersalah atas dua tuduhan membantu orang lain melakukan jenayah membabitkan lebih SGD$356,000 (RM1.2 juta).

Suhaili jatuh cinta dengan lelaki sama dan mempunyai anak bersama lelaki terbabit.

Pada Disember 2021, Awolola, yang ketika itu berusia 37 tahun, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Daerah.

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan bekerjasama dengan orang lain untuk menerima faedah hasil daripada perbuatan jenayah yang dikaitkan dengan kerugian lebih SGD$550,000 (RM1.8 juta).

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Jordon Li, berkata bagi kes membabitkan penipuan cinta itu, ia dilakukan dengan penipu mengenali mangsa dan menggunakan identiti palsu menerusi Internet.

Penipu itu kemudian akan memulakan hubungan dengan mangsa untuk meraih kepercayaan mereka, sebelum meminta wang daripada mereka.

Faridah mulanya mengenali Awolola sebagai ‘Jerry’, yang kemudian menghubungi Faridah dengan mendakwa bahawa ‘Jerry’ memberikannya nombor Awolola dan mereka mula bersembang di WhatsApp.

Awolola kemudian meminta Faridah untuk memberi butiran akaun banknya dan menyuruh tertuduh mengeluarkan duit yang diterimanya dan menyerahkan kepadanya di Malaysia.

Pada 16 April 2019, polis Malaysia menahan Awolola di Kuala Lumpur dan dibawa ke Singapura untuk didakwa di mahkamah.

Faridah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda hingga SGD$500,000 (RM1.7 juta) atas kesalahannya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *