November 17, 2024

Penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow merancang untuk berehat dari bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun depan kerana menganggap konsep pertandingan dari tahun 80-an itu sudah tidak relevan untuk diteruskan penganjurannya hari ini.

Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 44, berkata, dia berharap pihak penerbitan program itu untuk mencari idea baru untuk penganjurannya.

“Saya juga percaya sudah sampai masanya untuk saya berehat dari pertandingan nyanyian seperti AJL,” katanya.

Joe turut mendakwa pertandingan itu menampilkan suasana dan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan penyanyi yang bertanding.

“Penyanyi yang bertanding juga tidak mahu berinteraksi antara satu sama lain di belakang pentas kerana masing-masing mahu fokus untuk menang. Ia berbeza dengan suasana di festival muzik. Kalau menang rasa bersalah dan tak menang pun rasa bersalah,” katanya.

Menurut Joe, pihak AJL juga mengadili lagu dan memilih pemenang yang dia sendiri tidak faham proses penjuriannya.

“Walaupun ketika saya menang AJL, saya sendiri pun tidak tahu mengapa saya menang. Bagi ramai orang AJL adalah seperti ‘World Cup’ tapi saya anggap ia hanya hari Ahad yang biasa. Saya tidak pernah memahami konsep pertandingan nyanyian ini, ” katanya.

Pada AJL29, Joe bersama SonaOne menerusi lagu Aku Tanya Apa Khabar dinobatkan sebagai juara, manakala tahun lalu mereka muncul naib juara menerusi lagu Satu Malam Di Temasik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *