December 18, 2024

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sekali lagi mengajak orang Melayu menyertai “perpaduan” yang diusahakannya bersama Mahathir.

Kata Abdul Hadi ketika ini orang Melayu “ditipu secara terang-terangan” akibat sikap lalai serta jahil masing-masing.

Tambah ahli parlimen Marang itu, orang Melayu menjadi mangsa dalam langkah politik negara, selain menghadapi masalah rasuah, keruntuhan moral dan lain-lain termasuk perpecahan dalam hal cabang agama serta perebutan harta.

“Kaum Melayu dipermain-mainkan dan ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan serta kelalaian mereka,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.

Abdul Hadi yang pernah dilantik sebagai duta khas bertaraf menteri dalam keraaan sebelum ini menegaskan orang Melayu tidak boleh membiarkan kuasa politik yang masih ada terlepas kerana jahil dan leka.

“Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam, sepertimana Rasulullah SAW memulakan dengan perpaduan bangsa Arab,” katanya.

Keputusan PRU ke-15 tahun lalu menyaksikan PAS tercicir daripada kuasa sebagai kerajaan pusat. Sebagai pembangkang Abdul Hadi antara pemimpin utama seteru kerajaan yang awal membayangkan bakal berlaku perubahan kerajaan di luar pilihan raya sekali lagi.

Terbaru PAS mengadakan kerjasama secara rasmi memberikan sokongan kepada inisiatif Proklamasi Orang Melayu yang diawali bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Inisiatif tersebut disebut mereka sebagai mahu menyatukan “semua orang Melayu” tanpa mengira parti. Bagaimanapun setakat ini Bersatu – yang menjadi rakan PAS dalam PN – belum menyatakan sokongan mereka kecuali melalui beberapa pemimpin parti terbabit atas kapasiti peribadi.

Menurut Abdul Hadi PAS menyokong inisiatif Mahathir untuk menemukan para pemimpin, ilmuwan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang-orang yang berpengaruh dalam kalangan bangsa Melayu.

Untuk rekod sebelum ini Abdul Hadi pernah mendakwa kalangan orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah golongan yang terlibat dalam kegiatan rasuah, sama ada sebagai pemberi atau penerima.

Dakwaan itu dikatakan dibuat berdasarkan kepada “kajian” peringkat PhD sebuah universiti tempatan.

Bagaimanapun Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kemudian mengendurkan polemik tersebut dengan menyatakan amalan rasuah tidak terhad hanya kepada penganut agama atau bangsa tertentu.

Katanya realiti yang berlaku sekarang ialah amalan tersebut dilakukan oleh semua kumpulan dan berleluasa.

Justeru, Muhyiddin – yang juga seorang lagi bekas perdana menteri – meminta agar isu tersebut tidak perlu didebatkan lagi atau dikaitkan dengan mana-mana kumpulan serta penganut tertentu.

“Rasuah sudah agak berlaku berleluasa, orang bukan Islam ada melakukan rasuah, yang Islam pun ada rasuah.

“Saya rasa mungkin ia tdak perlu orang debatkan. Realitinya itu yang sedang berlaku,” katanya semasa menghadiri perasmian Muktamar PAS ke-68 di Kota Sarang Semut, Alor Setar, 3 Sept tahun lalu.

Sebagaimana yang kita tahu, walaupun PN memerintah selama 17 bulan dan Keluarga Malaysia setahun lebih namun rasuah melibatkan PN dan PAS sangat membimbangkan. Malah video rasuah PAS berleluasa tersebar. Pemimpin mereka dikatakan akan turut dibawa ke muka pengadilan. Adakah komplot bersama Mahathir dengan mempergunakan orang Melayu ini merupakan langkah untuk selamatkan diri dari didakwa?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *