Polis memberkas seorang lelaki yang disyaki mencabul seorang wanita yang sedang berjalan di Sea Park di sini, pada 28 April lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek diberkas tiga jam selepas kejadian itu berlaku.
“Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan di Ara Damansara pada jam 10.15 malam. Hasil siasatan mendapati suspek dikehendaki polis bersabit dua kes iaitu di Wangsa Maju dan Kelana Jaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohamad Fakhrudin berkata, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini boleh menghubungi Balai Polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.
Pada 3 Mei lalu, media melaporkan polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia lingkungan 20 tahun mendakwa telah dicabul oleh seorang lelaki pada jam 7.09 malam.
Mangsa sedang berjalan kaki di tepi jalan di kawasan perumahan di Sea Park telah dipeluk dari arah belakang oleh suspek yang berpakaian dan bertopi warna hitam serta memakai pelitup muka, yang kemudian melarikan diri.