November 21, 2024

Polis menahan 11 warga asing termasuk tujuh wanita yang berpesta dadah dalam sebuah unit kondominium Khamis lalu.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata mereka terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga China serta enam wanita warga Vietnam yang semuanya berusia 18 hingga 54 tahun.

“Polis menyerbu premis itu pada 12.30 tengah malam selepas bertindak hasil aduan orang awam dan jiran berhubung kegiatan mencurigakan di rumah itu.

“Pemeriksaan turut menemukan tiga bungkusan plastik berisi serbuk dipercayai dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 117g bernilai RM5,850, ketamin (2.42g bernilai RM363) dan satu jag cecair disyaki dadah MDMA seberat 700 mililiter bernilai RM500. Keseluruhan dadah berkenaan bernilai RM6,713,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rumah itu disewa oleh wanita warga China berusia 44 tahun yang mendakwa bekerja sebagai peniaga dalam talian dan menetap di situ sejak 14 tahun dan dia dipercayai menjemput mereka yang lain untuk berpesta dadah di kondominium tersebut.

Tan berkata, semua warga asing itu adalah rakan dan siasatan mendapati mereka mempunyai dokumen perjalanan diri serta masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong namun ada dalam kalangan mereka bekerja.

Beliau berkata, ada juga dalam kalangan mereka dipercayai berkahwin dengan orang tempatan atau dibawa masuk ke negara ini melalui teman lelaki dipercayai warga tempatan sebagai perempuan simpanan.

“Mereka direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis turut menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti sama ada mereka terlibat dengan kegiatan lain seperti sindiket penipuan atau ‘scam’ dan sebagainya kerana terdapat beberapa elemen menjurus ke arah jenayah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Tan berkata sejak awal tahun tahun ini hingga Khamis lalu, pihaknya merampas pelbagai dadah antaranya heroin, ganja, syabu, ketamin, pil ekstasi, pil erimin, serbuk ekstasi dan air ketum dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.2 juta.

“Sepanjang tempoh sama, polis membuka 628 kertas siasatan dan melakukan 967 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *