October 17, 2024

SELURUH dunia tahu Malaysia adalah negara paling lama “mengurung” rakyatnya ketika pandemik covid-19 melanda.

Seluruh dunia juga tahu bahawa rakyat Malaysia terpaksa “mengangkat bendera putih” kerana terlalu lama dikurung oleh kerajaan sehingga ada yang hampir kebuluran dan tidak kurang juga adanya keluarga mengalami kemurungan hingga menyebabkan suami dan isteri bergaduh dan ada anak-anak menjadi mangsa deraan dari kedua ibubapa. Paling sadis ada yang mengambil keputusan nekad membunuh diri kerana “depress” termasuk hilang pekerjaan dan perniagaan terpaksa gulung tikar.

Apa yang seluruh dunia baru tahu dan terkejut adalah wujudnya kumpulan yang merompak wang rakyat di saat darurat di istiharkan sehingga timbul tandatanya, bagaimana di saat rakyat diuji dengan virus membunuh itu dan disekat segala perjalanan serta urusan kerja, ada pihak yang di dalam akaun pertubuhannya menunjukkan aliran masuk yang jumlahnya ratusan juta ringgit?

Dunia juga dikejutkan bagaimana mewahnya parti politik yang umurnya setahun jagung dan parti politik yang selama ini hanya hidup dengan duit “tabung milo” hasil dari ceramah politik mampu merasuah pengundi dengan jumlah yang begitu banyak sekali.

Akhirnya sudah ada yang diheret ke mahkamah dengan pendakwaan meminta rasuah atas nama pakej bantuan kontraktor bumiputra yang mana jelasnya adalah satu pembohongan kerana syarikat yang terlibat adalah bukannya milik bumiputra. Beberapa perdakwaan telah dilakukan dan ketika ini yang terlibat adalah berjawatan kepimpinan di peringkat pusat.

Apabila akaun parti politik dibekukan dan terkini individu yang berjawatan bendahari agung parti juga telah direman oleh SPRM maka rakyat Malaysia boleh melihat bagaimana pemimpin kumpulan ini bagaikan cacing kepanasan kerana siasatan SPRM menghampiri kepada garisan penamat.

Rakyat boleh menilai sendiri kenapa Presiden PAS hampir setiap hari memberi harapan palsu kepada pengikutnya kononnya Perikatan Nasional bakal mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang atau menebuk atap lagi sekali. Kenapa? Jawapannya mudah, SPRM telah memanggil 90 orang saksi atau yang terlibat di dalam jenayah rasuah pengundi di PRU15 baru-baru ini termasuk saksi utama adalah AJK PAS Marang yang tiba-tiba popular dengan sumpah “wallahi aku undi Pas” dan menyerahkan duit rasuah kepada pengundi.

Atau mungkinkah Hadi mula dapat merasakan SPRM sudah mempunyai bukti aliran duit rasuah juga masuk ke akaun parti atau pemimpin tertentu?

Muhyiddin juga dilihat ketakutan apabila SPRM dengan tegas menyatakan bahawa dirinya adalah suspek tidak seperti yang Muhyiddin war-warkan pada awalnya bahawa konon dirinya bukanlah suspek.

Paling tidak masuk akal adalah pemimpin UMNO dan bekas pemimpin yang telah dipecat dari parti. Mereka dilihat begitu bersungguh menyerang kepimpinan utama UMNO terutama Presiden, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah berniat agar UMNO diharamkan. Isu yang cuba dimainkan supaya ahli UMNO keliru adalah keabsahan tambahan usul di Perhimpunan Agung UMNO 2022 iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan. Majoriti perwakilan bersetuju namun kumpulan “budak suruhan Muhyiddin” tidak berpuashati sehinggalah keputusan dari RoS melalui kuasa Menteri Dalam Negeri secara rasmi dikeluarkan dengan menyatakan tiada sebarang kesalahan dari perjalanan Perhimpunan Agung UMNO 2022 tersebut.

Jika Muhyiddin dan Hadi Awang mengejar waktu bakal diheret ke muka pengadilan, kumpulan budak suruhan Muhyiddin juga kelihatan cemas seperti ada yang tidak kena.

Ismail Sabri dilihat mempunyai “tugasan” sebagai budak Muhyiddin, mengasak Presiden UMNO dengan mendesak supaya ditunjukkan bukti keabsahan dari RoS. Tindakan Ismail Sabri mengundang persoalan, adakah beliau juga merasakan dirinya juga bakal berdepan dengan SPRM? Terutama dengan pendedahan Mukhriz Mahathir berhubung dengan permintaan Muhyiddin supaya separuh peruntukan untuk Perdana Menteri diberikan kepadanya dan nilainya menurut Mukhriz adalah RM7 bilion serta 100% peruntukan Timbalan Perdana Menteri yang nilainya berbilion juga diberikan kepada Muhyiddin.

Atau mungkinkah Ismail Sabri turut terlibat di dalam skandal Janawibawa? Adalah tidak masuk akal pemimpin UMNO yang berada pada kedudukan pernah menjadi Perdana Menteri tiba-tiba menyerang Presiden sendiri sedangkan beliau dengan restu Presiden UMNO dijadikan poster boy pada PRU15 dan bakal Perdana Menteri sekiranya BN menang di PRU tersebut.

Serangan Ismail Sabri juga di sambut oleh KJ. Walaupun telah dipecat dari UMNO, KJ dilihat tidak mampu mengawal diri dan nampak cemas. Adakah KJ juga mula kepanasan kerana isu terkini, Pharma Niaga mengalami kerugian lebih dari RM600 juta melalui urusniaga pembelian vaksin sehinggakan syarikat milik Tabung Angkatan Tentera ini dikenakan P17 oleh Bursa Saham Malaysia yang boleh dinyah senaraikan di papan utama.

Betulkah wujud skandal “mark-up” harga pada urusniaga pembelian vaksin dan vaksin tersebut sudah tamat tempoh? Siapa menteri kesihatan yang terlibat ketika ini?

Melihat kepada kesungguhan serangan kepada Presiden UMNO dan kerajaan perpaduan, ada sesuatu yang tidak kena.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *