Seorang pemuda Orang Asli maut disondol babi hutan selepas lembing yang dilontar ke arah haiwan liar terbabit tersasar dalam kejadian di Kampung Bertang Lama, Pos Sinderut di sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata Balai Polis Sungai Koyan menerima laporan daripada seorang pengadu, Rasil Yok Len, 32, memaklumkan rakannya cedera parah diserang haiwan terbabit.
Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Johan Yok Boi, 25, bersama lima rakan termasuk Rasil, memburu babi hutan di kawasan ladang sawit Lombong Selinsing di sini, kira-kira jam 10 pagi, semalam.
“Ketika mengendap haiwan itu, Johan cuba mendekati seekor babi dan melontar lembing ke arah babi tersebut tetapi tidak terkena sasaran.
“Secara tiba-tiba, babi itu mengamuk dan menyerangnya. Akibat serangan terbabit, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian peha akibat ditusuk taring babi,” katanya..
Ismail berkata, Rasil bersama tiga lagi rakannya membawa mangsa yang mengalami kecederaan ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan untuk rawatan.
“Mangsa telah meninggal dunia di Hospital Lipis akibat serangan haiwan itu pada jam 5.55 petang semalam,” katanya.