January 9, 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam keterangan Adun Sungai Burong Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang didakwa menyebarkan hantaran palsu berkait Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

SKMM dalam kenyataan berkata keterangan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu diambil Selasa lalu bagi membantu siasatan polis selepas Facebooknya didapati antara akaun media sosial didakwa memuat naik hantaran palsu.

Menurutnya, Adun penggal pertama itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Dalam pemeriksaan dijalankan bersama polis itu, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan.

“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut,” kata agensi itu yang menasihatkan orang ramai berhati-hati memuat naik sebarang hantaran di media sosial.

“Pastikan maklumat disebarkan adalah benar dan sahih.”

Pada 3 Jan lalu, Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) membuat laporan polis melibatkan Zamri berhubung hantaran berunsur fitnah di media sosial itu.

Timbalan Pengerusinya Mejar Razali Zakaria berkata, Zamri telah melontarkan fitnah bahawa Anwar menyokong solidariti bersama aktivis Iswardy Morni.

Laporan polis terhadap Zamri turut dibuat PKR Perak pada hari sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *