January 9, 2025

Seorang lelaki dipukul dan dilarikan sekumpulan individu yang juga rakannya ketika berada di kedai makan kawasan Taman Nusa Bestari, Skudai di sini 2 Januari lalu dipercayai kerana gagal melunaskan hutang RM37,000.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata mangsa berusia 34 tahun yang bekerja sebagai juruacara berhutang untuk kegunaan peribadi daripada beberapa rakannya, namun gagal membayar hutang itu.

Katanya, dalam tempoh kurang lima jam, mangsa diselamatkan dan lima lelaki berumur antara 20 hingga 29 tahun ditahan.

“Pihak polis menerima laporan daripada teman wanita mangsa, berumur 29 tahun berhubung kejadian.

“Pada lebih kurang jam 11.23 malam, teman wanita mangsa membuat laporan polis, memaklumkan ketika dia bersama mangsa didatangi sekumpulan lelaki.

“Mangsa dipukul dan dilarikan dengan menaiki sebuah kereta oleh suspek.

“Lima suspek ditahan lebih kurang jam 1.20 pagi di lokasi sekitar Taman Nusa Bestari, sama dengan lokasi mangsa ditemui,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Menurut Kumarasan, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Ujian saringan awal mendapati kesemua suspek negatif dadah. Semasa tangkapan itu, pihak polis turut merampas dua kereta mewah dan sebatang objek keras.

“Empat daripada lima suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini dan tidak mengaku bersalah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan bagi pengurungan salah, Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyebabkan cedera menggunakan senjata dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyebabkan kecederaan.

“Seorang suspek lagi tidak dituduh dan akan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *