January 9, 2025

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, tidak hadir pada perhimpunan solidariti untuk Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin lalu, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Mohd Puad Zakarshi.

Sebaliknya, dia berkata bahawa Akmal hadir untuk mengikuti prosiding mahkamah berkaitan titah tambahan mengenai kemungkinan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

“Parti tidak pernah melarang ahli atau pemimpin hadir perbicaran Najib di mahkamah. Itu biasa. Presiden dan setiausaha agung beberapa kali ke mahkamah beri sokongan pada Najib.

“Akmal bukan hadir perhimpunan. Dia sendiri melarang Pergerakan Pemuda hadir perhimpunan seperti dirancang. Tidak timbul Umno rasa malu. Umno mengambil tindakan taktikal,” katanya.

Puad mengulas laporan The Star yang mendakwa “PAS the winner and Umno the loser” (PAS adalah pemenang dan Umno kalah) berhubung perhimpunan tersebut.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengumumkan bahawa parti itu tidak akan meneruskan perhimpunan solidariti tersebut, dengan alasan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan arahan Ketua Polis Negara.

Bagaimanapun, Akmal menyatakan bahawa dia tetap akan hadir atas kapasiti peribadi untuk menunjukkan sokongan kepada Najib, yang kini menjalani hukuman penjara enam tahun.

Puad juga menyebut bahawa beberapa ketua bahagian Umno mungkin kecewa dengan pembatalan perhimpunan tersebut kerana mereka telah membelanjakan wang untuk bas dan mencetak baju-T.

“Mereka akur arahan parti. Tidak ada bas-bas Umno sampai. Itu maknanya Umno solid,” katanya.

“Sebenarnya Umno (adalah) the winner. Ahli Umno solid ikut arahan parti. Umno akur nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Afidavit (daripada PresidenUmno) Ahmad Zahid Hamidi, (Menteri Besar Pahang) Wan Rosdy Wan Ismail, dan (anak Najib), Mohd Nizar bukan hearsay (sekadar cakap-cakap).

“Akhirnya mahkamah putus titah adendum wujud,” katanya.

Puad juga mencabar penulis artikel itu untuk bertanya kepada PAS dan Bersatu jika mereka bersedia berhimpun lagi untuk menuntut pengampunan penuh buat Najib.

Tegasnya, Umno akan terus mempertahankan bekas presidennya melalui cara yang berlandaskan perlembagaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *