Najib Razak memberi keterangan dia secara umumnya boleh membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, namun boleh membuat kesilapan apabila disesatkan.
Bekas perdana menteri itu memberitahu perbicaraan Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini tentang proses membuat keputusan semasa dia mengetuai pentadbiran negara dari tahun 2009 ke 2018.
Semasa perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion 1MDB terhadap Najib, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib menyoal jika dia seorang individu bijaksana yang mampu membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.
“Secara umumnya (ya), tetapi kadang-kadang, apabila (fakta) tidak disampaikan dengan cara yang betul atau anda telah diberikan maklumat yang salah dan diperdayakan (misled), anda boleh membuat kesilapan,” kata bekas menteri kewangan itu kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Ahmad Akram kemudian menyebut Najib sangat sukar diperdayakan dengan mengambil kira pengalaman, pendidikan dan kepakarannya, sehinggalah dia menjadi pemimpin nombor satu Malaysia.
Bagaimanapun, Najib tidak bersetuju dengan kenyataan pendakwaan itu.
Sejak sekian lama Najib membela dirinya berkata dia tidak mengetahui sebarang salah laku di 1MDB dan penggelapan dana syarikat pelaburan negara Malaysia yang bermasalah itu sepenuhnya didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli pengurusan lain dalam syarikat tersebut.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menuduh tindakan Low dilakukan dengan restu Najib.
Pada 30 Oktober, mahkamah jenayah mengarahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana sebanyak RM2.27 bilion daripada dana kekayaan negara bermasalah 1MDB.
Hakim Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib membabitkan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Hakim itu memutuskan Najib perlu menjawab pertuduhan tersebut berdasarkan kekuatan keterangan daripada 50 saksi yang dikemukakan semasa peringkat pendakwaan dalam prosiding yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.
Sejak keputusan prima facie itu, Najib telah memberikan keterangan dalam pembelaannya terhadap pertuduhan jenayah 1MDB.
Peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.