Perancangan MIC untuk mengadakan perhimpunan sokongan terhadap Najib Razak di kuil Hindu Batu Caves mendapat kecaman daripada Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy.
Dia yang juga naib presiden PKR menggesa parti politik supaya menjauhkan aktiviti bermotif politik daripada tempat ibadat.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya aktiviti bermotif politik yang dijalankan di kawasan kuil kerana ruang ibadat seharusnya tertumpu pada aktiviti spiritual, sosial dan komuniti tanpa dipengaruhi oleh agenda politik.
“Tempat ibadat mesti kekal sebagai ruang suci untuk berdoa, merenung, dan meningkatkan spiritual, bebas daripada pengaruh politik.
“Pemimpin komuniti dan jawatankuasa pengurusan kuil yang memantau tempat ibadat di negara ini perlu bertindak lebih bertanggungjawab dan menegakkan standard etika bagi mengelakkan campur tangan politik.
“Membenarkan kawasan Kuil Batu Caves digunakan untuk perhimpunan bermotif politik merupakan kegagalan pihak pengurusan dalam menjaga kesucian dan neutraliti tempat ibadat, kerana aktiviti sebegini juga boleh mencetuskan duluan yang berbahaya,” katanya.
Saraswathy, yang juga anggota Dewan Negara mengulas pengumuman Timbalan Presiden MIC M Saravanan untuk mengadakan upacara doa khas buat Najib di Kuil Murugan Batu Caves pada pukul 11 pagi esok.
Parti komponen BN itu pada awalnya merancang untuk menyertai perhimpunan di luar Istana Kehakiman bagi menyokong bekas perdana menteri yang kini dipenjarakan atas kesalahan rasuah.
Namun, perhimpunan itu dibatalkan selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan berhubung hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan dan amaran daripada ketua polis negara supaya tidak menghadiri perhimpunan tersebut.
Saraswathy berkata membiarkan tempat ibadat digunakan untuk tujuan politik juga boleh “mengaburkan garis antara kepercayaan dan politik” serta mencetuskan perpecahan, bukannya memupuk keharmonian.
“Walaupun perhimpunan ini digambarkan sebagai hak demokratik MIC, persoalan yang lebih besar mengenai kewajaran menggunakan tempat ibadat untuk ekspresi politik.
“Keseimbangan antara menunjukkan sokongan dan mengekalkan kesucian amalan keagamaan mesti dipatuhi oleh pemimpin politik.
“Saya menyeru para pemimpin dan pihak pengurusan kuil, tanpa mengira kecenderungan politik mereka, memastikan ruang ibadat ini kekal suci dan neutral, menumpukan pada peningkatan spiritual dan sosial, serta memberikan teladan positif kepada masyarakat yang lebih luas,” katanya.