January 7, 2025

Barisan Nasional tetap konsisten agar proses keadilan dan perundangan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dilaksanakan dengan setulusnya.

“Menjadi tradisi BN, apa jua kemusykilan yang dihadapi oleh seseorang pemimpin parti dan negara, termasuklah Datuk Seri Mohd Najib, tetap tidak meleraikan hormat terhadap jasa dan pengorbanannya serta sumbangan yang besar,” kata kenyataan Ibu Pejabat BN yang disiarkan di media sosial.

“BN menghargai segala usaha-usaha solat hajat, doa serta munajat yang dilakukan oleh seluruh komponen untuk Datuk Seri Mohd Najib.

“BN berdiri teguh bersama Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi ketika mengemudi BN dalam menghadapi keadaan ini demi memelihara prinsip ketaatan kepada institusi Raja, kestabilan negara dan perpaduan rakyat serta keteguhan parti,” menurut kenyataan itu lagi.

BN turut memaklumkan gabungan itu tidak menganjurkan perhimpunan di Istana Kehakiman Putrajaya pada hari esok berkaitan solidariti Najib.

BN akur titah Agong

Sementara itu, BN menempelak “golongan oportunis yang cuba menangguk di air keruh” dalam isu Najib.

“Ia adalah langkah tidak bermoral menggunakan kesengsaraan Datuk Seri Mohd Najib yang pernah dihina dan difitnah di pentas propaganda politik mereka sendiri, dan kini mereka mahu menggunakan peluang untuk membina momentum bagi mencapai matlamat politik mereka,” kata gabungan itu.

Terdahulu presiden Umno mengingatkan ahli parti itu supaya tidak menyertai satu perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Istana Kehakiman di Putrajaya esok.

Zahid berkata mana-mana ahli yang masih mahu menyertai perhimpunan tersebut, perlu menanggung sendiri sebarang risiko yang akan dihadapi.

Umno dan PAS sebelum ini bersetuju mengadakan perhimpunan solidariti untuk Najib Razak.

Bagaimanapun Umno mengumumkan tidak akan menghadiri perhimpunan itu selepas Istana Negara meminta semua pihak menghormati perlembagaan dan undang-undang berhubung sebarang permohonan banduan untuk mendapatkan pengampunan atau meringankan hukuman.

Dalam perkembangan berkaitan, BN berkata pihaknya menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Baginda menurut Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Justeru, Barisan Nasional akur dengan titah saran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak menghormati kuasa prerogatif Baginda untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan bagi mengemukakan proses permohonan rayuan terhadap Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak,” jelas kenyataan itu.

Pun begitu, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh telah mengumumkan akan hadir pada perhimpunan itu atas kapasiti peribadi.

Pada 3 Jan, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shari dalam hantaran di media sosialnya berkongsi kiasan berbunyi: “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban”.

Susulan itu, Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda mengarahkan ahlinya di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Ahmad Fadhli atas dakwaan menghina institusi diraja.

Namun, Fadhli menjelaskan sebelum ini pihak yang sangat bimbang dan membidas Umno ekoran penyertaan untuk berdemonstrasi bersama PAS demi Najib ialah Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *