January 7, 2025

Putrajaya: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan remaja berusia 17 tahun yang dilapor hilang dari kediaman ibu saudaranya di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang sejak 29 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Nurul Fateha Nabila Mohd Zailani pada 31 Disember lalu yang dibuat ibu saudaranya yang juga penjawat awam.

“Mangsa tinggal bersama pengadu sejak Februari lalu selepas diambil dari sebuah Pusat Pemulihan Akhlak di Sabak Bernam. Sebelum menghilangkan diri mangsa telah berkurung dalam bilik kerana berlaku selisih faham bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Norhizam berkata, remaja itu dikesan hilang pada 12 tengah hari (29 Dis), memakai baju-T warna hitam dan berseluar trek hitam, serta membawa bersama telefon bimbit.

Menurutnya, usaha mengesan remaja itu giat dilaksana dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH). 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Muhamad Jefry Mustafa di talian 014 8013500,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *