January 7, 2025

Kuala Lumpur: Seekor lagi kucing mati digigit anjing liar di kawasan Universiti Malaya (UM) awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, penuntut universiti itu membuat laporan selepas dia dan rakannya melihat melihat beberapa ekor anjing menggigit kucing di tempat letak kenderaan pada 1.30 pagi.

Menurutnya, dia bersama rakannya menghalau anjing-anjing terbabit dan kemudian mendekati kucing berkenaan sebelum mendapati ia mati. 

“Pengadu kemudiannya menanam bangkai kucing itu dan membuat laporan polis untuk merujuk kejadian kepada pihak UM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tiada siasatan oleh pihak polis kerana kematian kucing adalah perbuatan anjing liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan kematian empat daripada lima kucing yang bangkainya ditemukan di UM, disahkan bukan berpunca daripada perbuatan khianat manusia.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dilaporkan semalam berkata, hasil bedah siasat dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendapati punca kematian disebabkan gigitan haiwan dipercayai anjing liar.

Sebelum itu, polis menerima lima laporan berhubung penemuan bangkai kucing berkenaan pada 17 Disember sehingga kelmarin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *