Polis merakam keterangan tiga individu berkait video tular beberapa individu yang memakai pakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat pasukan beruniform ketika menghadiri satu majlis dipercayai anjuran sebuah pertubuhan.
Ketua Polis Sungai Buloh Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya juga menyemak dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi siasatan lanjut.
“Kertas siasatan dijangka dilengkapkan Jumaat minggu depan dan akan dihantar ke pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Terdahulu, tular di TikTok beberapa individu mengenakan pakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat pasukan beruniform ketika hadir ke satu majlis.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata tindakan berkenaan boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai dengan memberi anggapan ia bukan satu kesalahan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan, Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan, sesiapa yang bukan askar, kelasi atau juruterbang dalam perkhidmatan tentera, memakai pakaian atau membawa apa-apa tanda menyerupai seorang askar, dengan niat menyamar askar boleh dihukum tiga bulan penjara, denda RM1,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.