January 7, 2025

DAP meminta Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menjelaskan maksud kiasan ‘jantan berkokok nyaring,’ ‘ayam betina’ dan ‘biawak’ yang dikongsi di media sosialnya.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata kenyataan mengandungi kiasan berkenaan dibuat Ahmad Fadhli selepas kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkaitan pengampunan diraja bagi kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya ingin bertanya pada Ahmad Fadhli, apakah maksud hantaran beliau itu. Tolong jelaskan siapakah yang beliau maksudkan ‘jantan berkokok nyaring’ dan siapa pula ‘ayam betina’ serta ‘biawak’.

“Apa yang sedang berlaku ialah UMNO membatalkan hasrat himpunan solidariti Najib selepas titah Yang di-Pertuan Agong dikeluarkan, jadi saya ingin tanya Ahmad Fadhli, adakah ‘biawak’ yang beliau sebutkan itu merujuk kepada baginda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS dilaporkan menghantar kata-kata kiasan membabitkan haiwan seperti ayam dan biawak.

“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban,” kias Ahmad Fahdli tanpa memberi sebarang penjelasan lanjut.

Kiasan itu dikongsi Ahmad Fahdli sejurus Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan kenyataan pembatalan Himpunan Solidariti bagi menyokong Najib.

Sementara itu, Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, dengan latar isu yang sedang melanda, Ahmad Fadhli perlu memberi penjelasan lanjut berhubung hantaran beliau itu.

“Ia penting untuk menjernihkan keadaan atau Ahmad Fadhli akan dipalit dengan gelaran biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong atas keterlanjuran kata-kata di media sosial,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *