Maran: Identiti dua wanita maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka jatuh gaung di KM 152 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), di sini, hari ini sudah dikenal pasti.
Keempat-empatnya bersaudara, dalam perjalanan ke Kuil Sri Marathandavar Aalayam di Sungai Jerik ketika nahas berlaku jam 11.07 pagi.
Mangsa maut dikenali V Kohmathy, 61, dari Banting, Selangor dan K Vasanthy, 60, dari Klang, Selangor yang duduk di tempat duduk penumpang belakang, manakala pemandu kereta dan penumpang hadapan cedera serta dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.
Ketua Polis Daerah Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan kereta Nissan Almera dinaiki empat wanita pada 11.15 pagi.
“Siasatan mendapati empat mangsa yang mempunyai pertalian darah dalam perjalanan dari Banting ke kuil Sri Marathandavar. Kereta dipandu wanita berusia 33 tahun hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung di sebelah kiri lebuh raya.
“Kedua-dua penumpang tempat duduk belakang maut di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang tempat duduk hadapan berusia 24 tahun cedera parah.
“Mayat kedua-dua penumpang dibawa ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wong berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini dilaporkan dua wanita maut dan dua lagi parah selepas kenderaan mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam enam meter berhampiran Felda Nerek.