KUALA LUMPUR: Peserta program realiti, Gegar Vaganza 11 (GV11), Arrora Salwa menafikan menggunakan khidmat bomoh atau ‘mak esah’ seperti didakwa segelintir netizen.
Dalam satu hantaran di TikTok, Arrora menjelaskan bahawa dia mengamalkan ayat al-Quran.
“Ada yang kata saya guna ‘mak esah’, Saya ‘mandrem’ (guna sihir). Dia begini, tak perlu pakai ‘mak esah’, pakai ayat al-Quran sahaja.
“Diamalkan surah al-Baqarah, ayat satu sampai lima. Lepas itu, ayat Kursi. Kemudian, ayat terakhir al-Baqarah. Hafal lah…
“Insya-Allah, kalau orang nak buat apa-apa benda tak baik kepada kita, benda itu berbalik semula kena kepadanya,” katanya.
Dalam hantaran sama, Arrora turut menunjukkan demonstrasi melintas di bawah ampaian kerana itu adalah antara pantang bagi mereka yang menggunakan khidmat bomoh atau sihir.
“Satu lagi, orang kata kalau pakai ‘mak esah’, tak boleh lalu bawah ampaian, kan? Okay sahaja. Tak ada ‘mak esah’,” katanya.
Rata-rata pengikutnya meluahkan rasa terhibur dengan gelagat penyanyi yang popular dengan lagu Ahmad itu.