Pengalaman dan kontroversi tidak sesekali membuatkan penyanyi Aisha Retno berputus asa, sebaliknya menjadi pencetus semangat untuk merencana kerjaya seninya dengan lebih baik.
Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, mengakui dia lebih berhati-hati dalam segala perkara selepas pembatalan konsert solonya, sekali gus mengheret kontroversi terhebat sepanjang kariernya sebagai anak seni, tahun lalu.
“Banyak sangat saya belajar sejak awal tahun sehinggalah bulan terakhir, tahun lalu. Saya diberikan cabaran, namun rezeki juga datang secara seimbang.
“Pengajarannya, saya belajar untuk lebih berhati-hati dengan orang yang terdekat. Jangan percaya sesiapapun melainkan ahli keluarga.
“Saya akan berhati-hati dengan sesiapa sahaja berurusan dan pastikan semuanya kerja berlandaskan kepercayaan tinggi.
“Pada masa sama, jaga kesihatan fizikal dan mental. Paling penting, sayangi diri sendiri,” katanya kepada BH Online.
Pada 9 November lalu, penganjur konsert Aisha Retno, Kharisma Music International mengumumkan pembatalan konsert yang sepatutnya berlangsung 16 November berikutan jualan tiket kurang memberangsangkan.
Namun, Aisha menyifatkan pembatalan Konsert Malam Sutera Aisha Retno di Zepp Kuala Lumpur itu benar-benar mengejutkannya.
Malah, menurutnya, dia hanya mengetahui pembatalan itu menerusi media sosial pihak penganjur.
Aisha tidak menafikan dia bekerja keras sepanjang tahun lalu kerana semangat dan minat untuk mengembangkan karier seninya.
“Allah memberikan saya banyak rezeki pada 2024. Saya nikmati dan menghargai setiap satu rezeki yang hadir.
“Alhamdulillah atas semuanya. Antaranya, saya bersyukur dapat jemputan mewakili Malaysia ke Festival Java Jazz dan kemudian memperoleh kemenangan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38. Itu perkara paling tidak disangka-sangka berlaku.
“Sebenarnya untuk 2024, saya tiada agenda untuk jadi finalis AJL, tapi bila sudah masuk ke fasa separuh akhir kemudiannya ke peringkat akhir, saya berasakan itu antara kejayaan paling manis dan akan sentiasa saya kenang sampai bila-bila,” katanya.
Untuk tahun ini, Aisha tidak menafikan turut menanam cita-cita mara ke AJL menerusi single terbaharunya, Terbang.
Aisha juga merencana pelbagai projek, termasuk kolaborasi bersama komposer di Indonesia untuk lagu baharu, tahun ini.
“Saya rancang ke Indonesia dan akan menjalankan proses penulisan lagu untuk single seterusnya bulan ini. Tapi, saya tak boleh nak berkongsi lanjut, insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja.
“Saya sebenarnya teruja kerana ini akan menjadi kali kedua menulis lagu dan bekerjasama dengan komposer di Indonesia. Lagu baharu ini bakal dilancarkan di Malaysia, tetapi ia adalah projek kerjasama dengan penggiat seni di tanah seberang,
“Saya teruja sebab ia boleh dikatakan ‘rebound’ daripada apa yang berlaku tahun ini. Kalau ada rezeki saya mahu belajar banyak dan menggunakan ilmu sebaik-baiknya,” katanya.
Katanya, 2025 akan menjadi permulaan baik, namun ditanya soal berkahwin dia mengaku belum ada dalam perancangan.
“Orang tanya bila nak kahwin, tapi tiada perancangan ke arah itu, calon pun belum ada lagi.
“Saya masih muda, jadi saya nak fokus mengeluarkan lagu-lagu seterusnya dan merancang membuat showcase secara kecil-kecilan selepas mengeluarkan album.
“Kiranya ini untuk peminat yang sudah lama menunggu konsert yang terbatal, jadi saya rancang mengadakan showcase secara kecil-kecilan buat mereka,” katanya.
Pada masa sama, Aisha berkata, dia mahu mengusahakan album solonya yang turut memuatkan lagu kolaborasi bersama komposer Indonesia.
“Bila material sudah cukup, saya akan jalankan showcase dan impian jangka panjang saya ingin tampil dalam konsert,” katanya.