Tiga ahli Geng Atan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan pecah rumah, bulan lalu.
Tertuduh, Mah Mun Fei, 46; Liew Siong Khan, 42 dan Teo Kiam Hong, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat ingin mencuri harta milik seorang lelaki iaitu satu unit televisyen di rumah dekat Taman Mount Austin di sini, 8.20 malam, 11 Disember tahun lalu.
Sementara itu, di hadapan Hidayatul Syuhada, ketiga-tiga mereka turut menghadapi pertuduhan lain secara berasingan.
Mah mengaku tidak bersalah dengan niat curang menerima atau menyimpan harta curi di lokasi dan pasa masa dan tarikh sama dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Februari depan.
Liew pula mengaku tidak bersalah melupuskan harta curi di kedai emas dekat Jalan Kota Tinggi-Jalan Pandan di sini, 4 petang, 14 Disember tahun lalu.
Teo pula mengaku tidak bersalah bagi lima pertuduhan iaitu menerima atau menyimpan harta curi serta memiliki nombor pendaftaran kenderaan lain dan tidak dapat memberikan penerangan mengenai harta itu.
Dia turut didakwa dengan niat curang menyimpan harta curi, dengan sengaja melupuskan harta curi dan didapati dengan curang menyimpan beg jerut dan beberapa alat permainan video yang mana tertuduh mengetahui semua harta itu adalah harta curi.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Bandar Baru Permas Jaya; Taman Mount Austin dan Jalan Harmonium 27 di sini, pada 12.30 tengah hari, 12 November 2019 dan antara 8.20 malam, 11 Disember hingga 3.45 petang, 15 Disember tahun lalu.
Di Mahkamah Majistret, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman dan Siti Aishah Latif serta kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Februari depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Semua tertuduh dibenarkan ikat jamin secara keseluruhannya masing-masing Mah dengan RM7,000; Liew (RM8,000) dan Teo (RM25,000).
Di dua Mahkamah Sesyen berasingan pula, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah masing-masing dengan satu pertuduhan memberikan kepada diri mereka dadah berbahaya amphetamine serta methamphetamine dan turut mempunyai kes sabitan terdahulu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini, 2.35 petang, 12 Disember tahun.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Hazeelia Muhammad masing-masing tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan jenis pertuduhan adalah tidak membenarkan untuk jaminan ditawarkan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh, Nurul Syafiqah Sha’ari dan Siti Fatimah Mamu.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 4 Februari dan 7 Februari depan.