Anak kedua pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu, 40, iaitu Dzahira Talita Zahra (Talita), 11, menangis sambil memeluk bapanya selepas diberitahu bakal membuat persembahan kali pertama di hadapan orang ramai bersama Radio Era di Bukit Bintang jam 9 malam ini.
Menerusi perkongsian video di Instagram (IG), Shuib berkata, dia menerima panggilan daripada Era yang menawarkan Talita untuk menyampaikan dua lagu iaitu Bayangan Gurauan dan Kesetiaan secara ‘busking’ di sana.
“Pagi tadi, Azad telefon dan berborak bersama tapi tiba-tiba dia cakap 3 Pagi Era nak buat ‘content busking’ dekat Bukit Bintang jadi bos dia tanya boleh atau tidak untuk menjemput Talita menyanyi sekali?
“Sebagai bapa, saya sangat gembira dengan pelawaan terbabit dan terus memberitahu Talita selepas dia pulang dari sekolah,” katanya.
Dalam perkongsiannya lagi, kata Shuib, Talita memang sudah lama menanti peluang untuk membuat persembahan dihadapan orang ramai.
“Rupa-rupanya, Talita terlalu nak menyanyi depan orang ramai dan dia memang menunggu peluang macam ini. Allahu Akbar!
“Semoga Allah permudahkan urusan Talita, daddy akan selalu ada di belakang Thalita, I’m your biggest fan. Satu keluarga akan turun beri sokongan pada awak.
“Siapa yang ada kelapangan, marilah datang, sokong 3 Pagi Era bersama Pak Azad,Nabil,Radin dan Talita,” katanya.
Sementara itu, perkongsian Shuib turut mendapat perhatian pengikutnya di media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang tumpang bangga dengan anak kedua penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin itu serta ramai yang sebak melihat momen dia menangis sambil memeluk bapanya itu.
Mereka juga memberikan kata-kata semangat kepada Talita agar dapat membuat persembahan terbaik.
Selain Talita, Shuib juga memiliki tiga lagi anak bersama arwah Siti Sarah iaitu Uwais Al-Qarni, 13; Ariq Matin, 8 dan Ayash Affan, 3 tahun.