Pelakon Yana Samsudin terkejut apabila nama suaminya, Fadzil Zahari dituduh sebagai individu yang ditahan pihak berkuasa kerana memiliki dadah seperti tular dalam media sosial, sejak akhir-akhir ini.
Yana berkata, dia dan Fadzil sedang mengerjakan ibadah umrah, malah secara kebetulan mata suaminya memang kemerahan kerana alergik dengan cuaca sejuk di Tanah Suci ketika isu itu hangat diperkatakan.
“Saya anggap (tuduhan) ini sebagai satu dugaan untuk kami sekeluarga yang sedang menunaikan umrah, Disember lalu.
“Bagi saya, apabila sedang melakukan satu kebaikan, Allah beri satu dugaan dan ingin melihat bagaimana kami tangani ujian itu.
“Hendak dijadikan cerita, secara kebetulan mata suami merah sebab alergik dengan cuaca sejuk,” katanya ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem terbaharu lakonannya, Sahak Gangster di GSC Tropicana Gardens Mall, Kota Damansara, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Yana berkata, dia tahu mengenai tuduhan dilemparkan selepas telefon bimbitnya tidak berhenti berbunyi ketika sedang fokus mengerjakan umrah.
“Sebenarnya saya sekeluarga dijemput oleh kedutaan Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah beberapa tempat menarik.
“Ketika tiba di Makkah pada jam 3 pagi dan sedang mengerjakan umrah, telefon bimbit kami tak berhenti berbunyi.
“Apabila sampai sahaja di hotel, suami baru sempat baca mesej dan maklumkan sudah ramai pihak membuat spekulasi mengenai dirinya berhubung penangkapan itu.
“Saya pun terus cakap kepada dia, abaikan dan tinggalkan hal ini di Malaysia. Itu sahaja ayat yang keluar daripada mulut saya.
“Cuma, saya terkejut dengan individu yang kena tahan itu. Harap beri pengajaran kepada semua orang dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Yana kembali ke layar perak selepas enam tahun dengan membintangi filem Sahak Gangster arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bakal menjengah pawagam bermula Khamis ini.
Sahak Gangster terbitan syarikat produksi, Millennium Megamas Sdn Bhd turut dibintangi Hariz Hamdan, Nelissa Nizam, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Mohammad Faizzal, Razak Ahmad, Chiwan, Azlan Komeng, Acong Sweetchild dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.