Seorang penjual kosmetik dalam talian yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan suami orang cedera dipukul lima wanita dalam kejadian di sebuah rumah flat dekat sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, wanita warga Indonesia itu turut diacu gunting di muka turut dihempuk berkali-kali dengan televisyen selain nyaris dilumur dengan cili di kemaluannya.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa berumur 29 tahun itu membuat laporan polis, jam 10.34 pagi semalam mengadu didatangi dan diserang lima individu yang dikenali itu di rumahnya pada hari kejadian.
“Dua daripada suspek dikatakan memukul muka dan badan mangsa dengan tangan dan menghempap televisyen manakala seorang lagi menarik serta menggunting rambut mangsa selain mengacukan gunting ke arah mukanya.
“Akibat daripada itu, mangsa mengalami pendarahan di mata sebelah kanan, lebam di muka, lengan kiri dan kanan, serta di paha selain mengalami sakit dada dan sesak nafas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Jasmin berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham selepas mangsa didakwa mempunyai hubungan sulit dengan suami salah seorang daripada lima suspek terbabit.
“Semasa kejadian, salah seorang suspek turut membawa sebungkus cili dan mahu memasukkannya ke dalam kemaluan mangsa yang turut disaksikan oleh seorang rakan mangsa.
“Rakaman kejadian itu turut dikesan ditularkan di media sosial sejak kelmarin,” katanya.
Susulan itu katanya, Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan kesemua suspek yang terdiri daripada dua wanita tempatan dan tiga warga Indonesia masing-masing berumur antara 20 hingga 38 tahun, kira-kira jam 2.45 petang hari sama.
Jelasnya lagi, Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin memerintahkan suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.