January 8, 2025

Lima sekawan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah rumah dan curi di sebuah kediaman pada 21 Disember lalu.

Tertuduh, G Sandresan, 30, M Premanantha, 25, M Moganrajah, 29, M Kogilan, 30, dan Mohammad Ghani Shak Ali, 26, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama melakukan pecah rumah dan mencuri dua unit komputer riba serta satu unit tablet milik seorang lelaki berusia 31 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Panchor Indah di Seberang Perai Selatan, di sini, jam 9.27 malam, 21 Disember lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda dan jika kesalahan itu ialah mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan hingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan itu dilakukan kali kedua atau kemudian boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafifah Mohd Shokri manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan masing-masing RM9,000 terhadap kelima-lima tertuduh.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh merayu supaya jaminan paling minimum dengan alasan berdepan masalah kewangan dan perlu menyara keluarga serta ibu bapa sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua mereka diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, tertuduh Sandresan dan Premanantha masing-masing turut berdepan satu lagi pertuduhan berkaitan kes mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sandresan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi manakala Premanantha mengaku bersalah atas kesalahan mencuri tiang lampu tembaga bernilai RM2,500 milik sebuah kuil.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman lima bulan penjara terhadap Premanantha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *