Komposer Zul Mahat dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada penghujung Disember lalu selepas terjatuh semasa membuat rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis di Subang Jaya.
Teman rapatnya, Rosnah Abdul Aziz berkata, semasa menerima rawatan, Zul Mahat tiba-tiba merasa sakit perut dan mahu ke tandas, namun terdapat pengguna lain di dalamnya.
“Dia menanti di luar dan selepas pengguna itu keluar, Zul Mahat melangkah masuk ke tandas tetapi tiba-tiba rebah tanpa sedar apa-apa.
“Pihak hospital terus menghubungi ambulans yang bergegas datang dan memberikan rawatan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR). Ketika itu denyutan jantungnya dah berhenti tapi syukurlah nyawanya dapat diselamatkan.
“Dia dibawa ke PPUM dan dimasukkan ke wad kecemasan sebelum dipindahkan ke wad biasa. Zul Mahat mengalami kecederaan di bahagian dagu, mata serta patah tangan kanan dan bahu kanan,” katanya.
Rosnah berkata, Zul Mahat hanya terbaring di atas katil dan tidak mampu bergerak. Dia juga perlu pakai lampin dewasa.
“Dia masih guna alat bantuan pernafasan. Hari ini sudah sembilan hari dia di hospital. Semasa hari kedua dirawat, ingatannya masih lemah. Namun sekarang sudah okay dan makin stabil.
“Sekarang dia dah boleh berkomunikasi seperti biasa. Antara artis dan penggiat seni yang sudah menziarahinya ialah Datuk Nora dan Amran Omar.
“Dijangka ramai lagi artis antaranya Datuk Syed Sobrie dan Datuk M Nasir akan datang melawat memandangkan hubungan mereka yang rapat,” katanya.
Zul Mahat adalah anak bongsu daripada enam adik beradik. Empat daripada mereka sudah meninggal dan hanya tinggal dia bersama kakaknya.
Dia pernah berkahwin dengan pelakon Shasha yang membintangi filem Ali Setan 2 dan kemudian bercerai.
Sepanjang kariernya, dia mencipta banyak lagu untuk ramai artis antaranya lagu Sahabat nyanyian Fauziah Latiff, Secebis Harapan nyanyian Datuk Nora, Sesat dalam Gelita nyanyian Spider, Perjalanan Duka nyanyian Min Malik dan banyak lagi.
Beliau juga pemuzik yang sebelum ini kerap mengiringi M Nasir dalam persembahan pentas dan rakaman.