Pelakon Datin Intan Najuwa yang baru sahaja bersalin anak pertama, Imane Lunara kesal dengan sikap netizen yang sering mempertikaikan setiap perbuatannya, seolah-olah ada sahaja tidak kena pada pandangan mata.
Bersalin pada 15 Disember lalu, pelakon berusia 27 itu kecewa apabila rata-rata komen negatif diterima datangnya daripada golongan wanita sendiri.
“Kenapa muka sembab? Kenapa perut masih kembung macam ada ‘baby bump’?
“Kenapa naik kerusi roda? Takkan tak boleh berjalan langsung?
“Nampak mata macam panda je. Kenapa terbaring saja? Saya dulu selepas enam jam dah bangun buat kerja,” antara komen ditinggalkan dalam TikTok.
Tidak berdiam diri dengan komen netizen, pelakon drama Setelah Ku Dimiliku itu tampil menjelaskan keadaannya menerusi Instagram Story (IGs).
“Saya baru sahaja melahirkan anak. Saya kini sedang perlahan-lahan kembali menjadi diri saya semula seperti ibu lain.
“Memang mengambil masa, tetapi saya akan sampai ke sana. Ini sangat mengejutkan kerana kebanyakan komen datangnya daripada wanita, termasuk mereka yang bergelar ibu.
“Tidak bolehkah kita saling berbaik antara satu sama lain. Wanita sepatutnya saling menyokong satu sama lain, bukan sebaliknya,” luahnya.
Sebelum ini, Intan pernah dikritik kerana dikatakan sengaja mempamerkan kehidupan mewah kepada masyarakat.
Intan juga dituduh menggunakan harta kekayaan suami untuk hidup mewah.
Perkongsian Intan mengenai persiapan menyambut kelahiran puterinya juga dikritik apabila dikatakan membazir kerana membeli barangan mewah untuk anak sulungnya.
Terdahulu, Intan mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman pada Ogos tahun lalu.