Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menegaskan bahawa parti mereka tidak terbabit secara langsung dalam himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ yang dijadualkan Isnin ini.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah berkata, himpunan itu anjurkan pihak lain dan Bersatu tidak mempunyai sebarang kaitan dalam hal itu.
“Kita tetap berpegang dengan prinsip menegakkan integriti, tadbir urus baik dan politik bersih.
“Ini termasuk isu kleptokrat dan 1MDB… sesiapa yang bersalah – tanpa mengira pangkat atau darjat – mesti dihadapkan ke proses undang-undang dan dihukum dengan setimpal.
“Dalam kes Datuk Seri Najib, kita tidak pernah berhimpun depan mahkamah, kita mempunyai keyakinan tinggi terhadap institusi kehakiman… begitu juga hak mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan atau lega hukum,” katanya dalam sidang media di Indera Mahkota, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.
Saifuddin berkata demikian ketika mengulas mengenai isu titah adendum diraja yang dikatakan berkaitan tahanan rumah Najib dan himpunan pada Isnin yang turut akan disertai ahli PAS.
Himpunan itu dianjurkan Umno dan penyertaan PAS yang merupakan sekutu Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat bakal menimbulkan konflik antara kedua-dua parti itu.
Bagaimanapun, Saifuddin memberitahu, setakat ini Bersatu belum membuat pendirian rasmi sama ada menyertai atau tidak himpunan berkenaan.
“Apa yang saya faham himpunan itu berkisar mengenai titah adendum oleh Yang Di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Sebab kita tidak mendapat jawapan daripada kerajaan hari ini sama ada titah itu wujud atau tidak… kalau wujud, cakap sajalah… kalau tak wujud pun, cakaplah… sebab rakyat nak tahu,” ujarnya.
Saifuddin menjelaskan kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini adalah jelas dan lengkap bahawa Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi pengampunan atau lega hukum.
“Betullah apa yang seperti kenyataan Istana Negara keluarkan, Najib perlu mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pengampunan.
“Cuma yang menjadi persoalan sekarang, adakah titah adendum pernah dikeluarkan oleh Al-Sultan Abdullah semasa baginda menjawat jawatan sebagai Agong.
“Kalau ada, kenapa tidak ikut titah berkenaan… ini membabitkan isu Perlembagaan, adakah kerajaan boleh ingkar jika titah itu pernah dikeluarkan sebelum ini,” soalnya lagi.
Sementara itu, ditanya mengenai cabaran bakal dihadapi PN dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tahun ini, Saifuddin memberitahu, persediaan awal sudah dilakukan Bersatu dan parti gabungan PN di Sabah.
“Bersatu Sabah juga makin kukuh, kita ada Naib Presiden dari Sabah, Ronald Kiandee dan dua ahli MPT.
“Lagipun, suasana politik Sabah agak unik dan kompleks, parti yang baru ditubuhkan pun boleh menang di sana.
“Macam sebelum ini, PN Sabah dilancarkan kira-kira sebulan sebelum PRN Sabah dan kita menang,” katanya.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor adalah daripada Bersatu sebelum mengumumkan pembentukan GRS dan menyokong Kerajaan Perpaduan selepas PRN lalu.
Tindakan Hajiji itu mengakibatkan dia dipecat daripada Bersatu.
Saifuddin bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan semula kerjasama dengan Hajiji pada PRN akan datang.
“Bersatu terbuka dalam hal ini, kita sedia berbincang dan memberi tawaran terbaik kepada rakyat Sabah,” jelasnya.