January 5, 2025

Himpunan solidariti Najib Razak anjuran PAS tidak akan membawa kepada pembentukan Muafakat Nasional (MN) 2.0 bersama Umno seperti berlaku pada 2019, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, ia berdasarkan komitmen Presiden Umno Zahid Hamidi bahawa kerajaan Madani akan utuh hingga PRU16.

“Bagaimanapun, himpunan ini akan mengeruhkan keadaan terutama antara Umno dan Pakatan Harapan. Kalau mereka (Umno dan PH) tak bekerjasama untuk PRU16, PAS ada peluang kerjasama dengan Umno.

“Manakala, Bersatu pula saya rasa tak akan ada impak besar, mereka boleh kerja dengan Umno sebelum ini pun,” katanya.

Perhimpunan itu akan diadakan 6 Jan ini di Istana Kehakiman, Putrajaya, sebagai tanda sokongan PAS kepada bekas perdana menteri.

Ia diadakan pada hari sama Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Sebelum ini, dilaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata Umno sudah merancang perhimpunan lebih awal sebelum PAS mengeluarkan surat mengenai perkara itu kepada ahlinya.

Jika ia berlaku, ini kali pertama Umno dan PAS ‘bersama’ sejak MN berakhir pada 2022.

MN ditubuhkan pada September 2019 ketika Umno dan PAS dalam blok pembangkang susulan kejayaan PH pada PRU14, Mei 2018.

Ia terkubur selepas PAS membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, dan pada masa sama mahu parti itu diterima dalam MN, tetapi dibantah Umno.

Mengulas lanjut, Syaza berkata tindakan Umno yang ingin berhimpun jelas kerana ‘Bossku’ adalah bekas pemimpin mereka.

“Tapi, kenapa PAS pun nak sertai (anjur). Ia lebih kepada untuk manfaat politik…untuk tunjuk kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim ‘melawan’ bekas Agong dan secara tak langsung Anwar tidak bersama pemimpin Melayu,” katanya.

Senada dengan Syaza, Lau Zhe Wei juga dari UIAM berkata, hubungan PAS dan Umno hanya dapat dinilai jika parti Islam itu sudah tidak bersama Bersatu dalam PN.

Untuk PAS nyatakan keikhlasan saya was-was. Sebagai parti pembangkang, tindakan anjurkan perhimpnan akan beri kebaikan dan keburukan, ia ada peluang laga-lagakan hubungan antara Umno dan PH, dan untuk itu kenapa tidak mereka lakukan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *