January 7, 2025

Lima termasuk tiga wanita cedera akibat diserang lelaki bersenjatakan parang dan tukul di restoran di Batu 3, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.11 pagi itu, suspek, 29, dipercayai tiba-tiba mengamuk sebelum mencederakan kelima-lima mangsa terbabit.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sejurus menerima panggilan, unit kereta peronda (MPV) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota polis berjaya menangkap dan mententeramkan suspek terbabit.

“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek yang bersenjatakan parang dan tukul telah datang ke kedai makan dengan tiba-tiba menyerang mangsa yang berada di dalam restoran berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa berusia 34 hingga 63 tahun yang cedera dirawat di Hospital Duchess Of Kent (HDOK) dan dalam keadaan stabil.

“Suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis berterima kasih atas maklumat awal diberikan berkaitan kejadian itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *