January 8, 2025

Polis merampas tujuh kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM204,000 ketika mengadakan operasi terancang sekitar Bukit Mertajam, di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi jam 4.15 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas didapati terbabit dalam aktiviti pengedaran syabu dan heroin.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pemeriksaan menemui beg plastik mengandungi lima bungkusan dipercayai syabu dan heroin dalam raga motosikal milik suspek.

“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini bergiat aktif sejak September tahun lalu dengan pasaran sekitar Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam operasi itu boleh digunakan oleh seramai 35,000 penagih.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine dan delta-9 tetrahydrocannabinol (THC).

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *