December 16, 2024

Dewan Rakyat akan membahas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada sidang berlangsung minggu depan.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata satu usul akan dibawa Azalina Othman Said selaku Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Katanya langkah tersebut diambil selepas ia dibincangkan dan dipersetujui mesyuarat kabinet yang berlangsung hari ini.

“Mesyuarat kabinet hari ini tak bincang secara khusus berhubung laporan ini, tapi kabinet dimaklumkan bahawa Azalina akan membawa usul untuk dibahaskan dalam parlimen… mungkin Rabu atau Khamis,” katanya pada sidang media pascamesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Untuk rekod, kerajaan menyah klasifikasi laporan RCI berkaitan pertikaian tiga pulau yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia pada 5 Dis lalu. Selepas ia dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hakim memutuskan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan menjadi milik Singapura.

RCI itu dianggotai tujuh orang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif sebagai pengerusi dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.

Lima lagi ahli RCI ialah bekas peguam Baljit Singh Sidhu, bekas dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya Prof Johan Shamsuddin Sabaruddin, pakar undang-undang perlembagaan dan undang-undang pentadbiran Prof Faridah Jalil, Pegawai Kewangan Johor Mohammed Ridha Abd Kadir, dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia Dickson Dollah.

Antara isu yang disyorkan RCI dalam laporan itu adalah agar siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang didapati membuat keputusan sepihak apabila enggan membuat rayuan semakan keputusan CIJ.

Menurut RCI, hanya memberi taklimat kepada kabinet tentang sebab dia berbuat demikian.

Jika rayuan dibuat, kata RCI itu, Malaysia mempunyai peluang untuk membatalkan keputusan ICJ yang menyerahkan kedaulatan ketiga-tiga pulau itu kepada Singapura.

Kata Fahmi, dengan pembentangan usul itu nanti ahli parlimen boleh membahaskan laporan tersebut.

“Perdana menteri sendiri sudah memberi komen mengenai apa yang disebut sebagai pengkhianatan yang jelas kita baca dalam laporan RCI itu,” katanya.

Pada Mei 2018, kerajaan PH di bawah pimpinan Mahathir menarik balik permohonan semakan hanya dua minggu sebelum pendengaran yang dijadualkan pada 11 Jun 2018.

Pada Feb lalu pula Menteri Azalina menegaskan bahawa penubuhan RCI bertujuan mencari penyelesaian dan penambahbaikan dalam isu kedaulatan negara, bukannya menyalahkan mana-mana pihak.

Azalina juga berkata rakyat Malaysia, terutama di Johor, berhak mendapat penjelasan mengenai faktor di sebalik keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan di ICJ.

Laporan itu telah dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Jun tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *