December 16, 2024

SHAH ALAM : Polis menahan dua pekerja ladang susulan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh dalam but kereta di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selasa lalu.

Kedua-dua suspek berusia 17 dan 22 tahun itu ditahan pada jam 5.08 pagi oleh anggota polis yang sedang melakukan tugasan rondaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pemeriksaan pada but kereta dinaiki suspek membawa kepada penemuan mayat lelaki disyaki warga asing berusia dalam lingkungan 30-an.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati mayat itu mempunyai beberapa kesan kecederaan pada tubuh.

“Pegawai perubatan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang mengesahkan kematian lelaki tersebut. Siasatan awal mendapati mangsa adalah pekerja ladang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, punca pembunuhan masih dalam siasatan dan kedua-dua suspek warga asing kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Disember ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *