November 21, 2024

Putrajaya: Pengkelasan mengenai kategori T15 sedang diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi yang dibuat oleh kerajaan nanti adalah adil kepada semua pihak, kata Menteri Eknomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang beralih kepada satu konsep baharu perbelanjaan bersih sesebuah isi rumah agar mereka menjalani kehidupan wajar.

“Secara konsepnya, yang itu telah dibentangkan secara mendalam di peringkat kerajaan.

“Perbincangan mengenai pelaksanaan itu sedang berlaku dan saya rasa adalah lebih baik kita menunggu reka bentuk terakhir mengenainya.

“Saya tidak rasa (kita gunakan) pendapatan isi rumah seperti sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) dan Pra Pelancaran Laman Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia di Presint 2, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Sebelum ini, semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15.

Bagaimanapun timbul reaksi oleh ramai pihak mengenai pengkelasan golongan T15 berkenaan.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, semasa Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) sebelum ini, kerajaan telah membuat keputusan bahawa penentuan ekonomi bagi pendapatan sesebuah isi rumah mengikut pendapatan mereka.

Disebabkan itu pada masa berkenaan, terdapatnya garis statistik membabitkan golongan seperti T20, B40 dan M40.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *