December 22, 2024

Ipoh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai merakam keterangan Ummu Atiyah, anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad yang mendakwa dikurung di perkampungan GISB Holdings (GISB) di Kampung Batu Hampar Dalam, Perak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, rakaman percakapan wanita berusia 41 tahun itu diambil di Balai Polis Padang Gajah pada jam 11 pagi tadi.

Menurutnya, pengadu mendakwa dia dikurung di dalam rumah dua bilik dalam tempoh kira-kira sebulan. 

“Pengadu menyatakan tidak berlaku sebarang kejadian rogol, cabul atau kecederaan fizikal semasa dikurung.

“Dia juga mendakwa cuba melarikan diri, namun ditangkap dan dikurung semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razarudin berkata, pegawai penyiasat kes sudah membawa Ummu Atiyah ke Perkampungan Maahad Sayuti Batu Hampar dan ditunjukkan rumah yang digunakan oleh pengikut GISBH untuk mengurungnya, sebelum wanita itu dihantar kepada neneknya di Kedah. 

“Pengecaman lokasi kejadian oleh pengadu berjalan lancar dan pengadu sudah beredar pulang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ummu Atiyah tiba di lokasi dia didakwa dikurung pada 2.38 petang untuk untuk proses pengecaman lokasi sebelum beredar pada 3.07 petang.

Malam tadi, Razarudin mengesahkan Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye, sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di perkampungan GISBH di Batu Hampar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *