December 22, 2024

Alor Gajah: Seorang penternak berputih mata apabila enam kambingnya mati dipercayai dibaham harimau kumbang atau nama saitifiknya Panthera pardus dalam kejadian di Kampung Bukit Tampoi, di sini, semalam.

Penternak terbabit, Ab Razak Ab Rahim, 34, menemui bangkai enam kambing dalam keadaan bahagian badan dirobek dan dimakan di kebunnya kira-kira 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.15 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati pengadu adalah penternak sepenuh masa sejak 2022 dan jumlah kambing peliharaannya sebanyak 13 ekor.

“Pengadu menyatakan semasa sampai di kandang, dia mendapati lima kambing sudah mati manakala seekor ditemui mati dalam jarak 200 meter dari kandang.

“Kejadian itu pertama kali berlaku dan pengadu mengesyaki perbuatan binatang liar iaitu harimau kumbang dan membuat laporan bagi tindakan lanjut Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka Petra Sulai ketika dihubungi berkata, pihaknya menjalankan siasatan jam 9 pagi tadi di lokasi kejadian susulan aduan diterima pihaknya.

“Begitupun kita tidak menemui apa-apa kesan tapak di lokasi kejadian selain bangkai sudah dilupus oleh pemilik.

“Penternak terbabit juga sudah memindahkan baki kawanan kambing peliharaannya ke kampung lain selain siasatan juga mendapati tiada hutan simpan berhampiran kampung berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memasang kamera bagi mengenal pasti spesies yang terbabit selain memasang perangkap harimau di lokasi kejadian, esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *