December 18, 2024

Seorang bailif mahkamah tidak menerima jawapan selepas membunyikan loceng di rumah pemimpin Umno Jamal Md Yunos pagi ini.

Susulan itu, ahli parlimen DAP Teresa Kok sedang mempertimbangkan mendapatkan perintah mahkamah sivil untuk membenarkan bailif memasuki rumah itu dan melaksanakan writ sita dan rampasan serta penjualan yang dikaitkan dengan saman fitnahnya terhadap ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu.

Peguam ahli parlimen Seputeh itu, Sankara Nair memberitahu media bahawa writ dan rampasan itu dikaitkan dengan kos RM50,000 yang terhutang oleh Jamal.

Peguam itu menjelaskan bahawa bailif mahkamah datang mengunjungi rumah Jamal sekitar jam 10.39 pagi hari ini, dan tidak menerima sebarang jawapan selepas membunyikan loceng beberapa kali.

Peguam itu menambah bahawa tiada jawapan diterima selepas bailif memanggil beberapa kali di luar rumah Jamal, dan 15 minit kemudian pegawai mahkamah itu meninggalkan lokasi berkenaan.

“Pelaksanaan tidak berjaya kerana tiada sesiapa berada di premis.

“Ia ditangguhkan sementara menunggu mendapatkan perintah mahkamah untuk masuk secara paksa,” kata peguam itu.

Pada 26 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 berhubung dakwaannya bahawa Kok menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor.

Mahkamah sivil juga telah memerintahkannya membayar kos RM50,000.

Jamal telah membayar ganti rugi tersebut, namun kos guaman masih belum dilunaskannya yang membawa kepada pelaksanaan writ di alamat terakhirnya yang diketahui di Ampang Jaya pagi ini.

Jamal tidak lagi dapat merayu setelah Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan keputusan yang memihak kepada Kok.

Saman itu adalah berhubung kenyataan Jamal semasa sidang akhbar pada 8 Mac 2017.

Pada bulan berikutnya, Kok memfailkan tindakan sivil berhubung dakwaan bahawa dia telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk dirinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *