December 18, 2024

KUALA LUMPUR – Bagi mengelak salah faham, penyanyi Syamel berkongsi semua perihal hidupnya dengan isteri, Ernie Zakri memandangkan mereka bekerja dalam industri sama.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 31, mahu lebih berjaga-jaga memandangkan pelbagai kisah rumah tangga melibatkan selebriti terjadi kebelakangan ini.

“Kami kena kongsi semuanya sebab kalau tak cakap susah sebab kami dalam industri sama. Risau pula pasangan dengar cerita daripada orang lain.

“Jadi, lebih baik kongsikan semua perkara. Sekarang pula banyak benda berlaku terhadap pasangan selebriti.

“Itu membuatkan kami sentiasa berhati-hati dan menjaga perasaan pasangan dengan lebih baik,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Selain itu, pelantun lagu Hidup Dalam Mati itu turut mementingkan komunikasi dengan menerapkan perbincangan bersama Ernie agar lebih saling memahami antara satu sama lain.

“Komunikasi itu penting, jadi kami sentiasa berkomunikasi dengan duduk bersama dan berbincang.

“Kami juga perlu saling memahami sebab kerja sebagai penyanyi nampak sama tetapi ada bezanya.

“Antaranya adalah dari segi perbezaan peminat. Jadi, banyak benda kami berbincang supaya tiada salah faham,” ujarnya lagi.

Syamel dan pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, mendirikan rumah tangga pada 22 Mac 2021.

Hasil perkahwinan selama empat tahun tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Nur Khawla Soleha, 2.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *