December 18, 2024

Seorang ahli parlimen DAP mempersoalkan bagaimana tiga anggota polis – yang ditahan berhibur di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, pada awal pagi 5 Oktober lalu dan disahkan positif dadah – memperoleh bahan terlarang itu.

Lim Lip Eng kemudian membangkitkan beberapa persoalan, misalnya kes itu menunjukkan ada anggota keselamatan yang tidak berintegriti terlibat dalam sindiket yang besar.

“Penting untuk menjalankan siasatan rapi bagi mengenal pasti bagaimana anggota-anggota ini memperoleh dadah serta sumber kewangan yang digunakan untuk menyokong aktiviti haram mereka. 

“Adakah pegawai-pegawai tidak berintegriti ini sebahagian daripada rangkaian jenayah yang lebih besar? 

“Adakah mereka mencuri dadah daripada pengedar atau (mendapatkannya) dari bilik barang bukti polis?

“Soalan-soalan ini perlu dijawab jika kita serius mahu mengambil langkah berkesan dalam membanteras rasuah dan jenayah dalam pasukan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Segambut itu, penangkapan tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang baru-baru ini mendedahkan satu isu yang sangat membimbangkan. 

Untuk sekian lama, kata Lim, siasatan terhadap kesalahan berkaitan dadah yang melibatkan anggota polis hanya tertumpu kepada kes-kes individu.

Katanya, ia tidak memadai dan gagal menangani rangkaian serta sistem yang membolehkan tingkah laku jenayah ini terus berlaku. 

“Apa yang diperlukan ialah pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan saja menyabitkan individu yang bersalah, tetapi juga mendedahkan serta membongkar budaya atau rangkaian dalaman yang membolehkan penyalahgunaan dadah dan kegiatan haram lain dalam pasukan polis,” katanya.

Ahad lalu Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tiga anggota polis berusia antara 37 dan 57 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang ditahan 

Katanya mereka adalah antara 14 individu yang didapati positif dadah dalam serbuan dan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan dekat kawasan Taman Dutamas, Cheras.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Difahamkan ketiga-tiga anggota polis terbabit ditukarkan serta-merta ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sementara menunggu siasatan disiapkan.

Pada 3 Okt pula Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata 12 pegawai dan anggota polis Kedah didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani dan mereka digantung tugas serta-merta.

Menurut Lim PDRM perlu mengambil tindakan tegas dengan melancarkan siasatan penuh dan telus berhubung isu tersebut. 

“Orang awam perlu diyakinkan bahawa mereka yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang di negara ini tidak terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *