December 22, 2024

Seorang tok batin masyarakat Orang Asli menyangkal dakwaan yang penganjur joget lambak menjual arak dan membenarkan perbuatan tidak sopan ketika acara tersebut.

Tok batin Kampung Chang Lama di Perak, Dahil Yok Chopil berkata penganjur joget lambak – yang biasanya diadakan antaranya ketika sambutan hari lahir dan perkahwinan – akan memeriksa barangan yang dibawa hadirin pada malam sebelum acara, bagi memastikan mereka tidak membawa masuk minuman beralkohol.

“Jika ada yang bawa, kita akan selesaikan isu itu dalam kalangan kita,” katanya.

Hari ini, surat Pejabat Pentadbiran Agama Islam Tapah yang melarang orang Melayu daripada hadir ke acara joget lambak yang dianjurkan kampung Orang Asli Batang Padang di Perak tular di media sosial.

Surat bertarikh 5 Oktober itu antara lain menyatakan terdapat perbuatan menyembah berhala, minum arak dan pergaulan bebas ketika acara itu berlangsung.

Mengulas lanjut, Dahil berkata dia tidak menerima surat itu dan menegaskan hadirin acara itu adalah berdasarkan undangan.

“Kami tak benarkan mereka yang tak diundang sebab kadang kala orang bandar akan bawa dadah dan buat masalah.

“Dan kami tak pernah jemput orang Melayu untuk sertai joget lambak, ini untuk mereka yang diundang saja…jika ada orang lain (yang tak diundang), kami akan minta mereka beredar,” katanya lagi.

Berhubung dakwaan kemungkinan berlaku persetubuhan haram dan khalwat, Dahil berkata ia sangat jarang berlaku.

“Ini kerana kami Orang Asli sangat berpegang kepada tradisi dan budaya kami,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *