December 3, 2024

SHAH ALAM: Pelakon Fattah Amin kesal apabila bekas isterinya, Nur Fazura mendakwa dirinya mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan tidak memberi nafkah.

Fattah menegaskan, dia mempunyai bukti transaksi bank yang menunjukkan memberi nafkah kepada Fazura. 

“Janganlah main sentimen ini. Saya ada bukti penyata bank mengenai ke mana wang saya dikeluarkan. 

“Kalau rasa tak cukup, tapi jangan cakap saya tak bagi nafkah kerana sebagaimana yang kita semua tahu, nafkah adalah perkara asas dalam perkahwinan mengikut kemampuan,” katanya ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini, pagi tadi.

Pada masa sama, Fattah turut menafikan ada menerima hadiah kereta mewah daripada Fazura. 

“Dia (Fazura) hadiahkan kepada saya? Salah itu. Itu daripada syarikat kerana saya bekerja dengan syarikat Fazura.

“Semua orang tahu saya bekerja dengan syarikatnya. Gaji saya ditolak untuk membayar kereta Range Rover. Janganlah ungkit perkara tidak sepatutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Fattah kesal apabila anaknya, Nur Fatima Aisya terpaksa berdepan dengan episod ‘dingin’ dan perceraian mereka. 

“Fatima tak sepatutnya berdepan keadaan seperti ini dalam keadaan umur baru empat tahun. Saya sangat kesal, anak terpaksa menerima situasi ini.

“Cerita mengenai anak memang saya sedih. Bila jumpa saya memang nampak Fatima gembira dan mahu ibu dan ayah bersama di rumah. 

“Tapi, saya terpaksa tipu dengan beritahu saya keluar rumah sebab urusan kerja. Fatima menangis tak mahu lepaskan saya sampai tertidur. Itu yang buatkan saya kesal sebab perlu menipu anak,” katanya.

Mengenai hak penjagaan anak, Fattah memberitahu, sepenuhnya di bawah Fazura, manakala dia mendapat hak lawatan dan bermalam. 

Fattah dan Fazura bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini, selepas tujuh tahun berkahwin. 

Fattah melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh pada jam 9.45 pagi tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *