December 22, 2024

Fazura mendakwa disebabkan sikap tidak bertanggungjawab Fattah, hidupnya menjadi sengsara hingga nekad untuk memfailkan perceraian. - NSTP/Rohanis Shukri

SHAH ALAM: Aktres Nur Fazura mendakwa isu curang dan culas bayar nafkah sebagai punca perceraiannya dengan bekas suami yang juga pelakon. Fattah Amin.

Memperincikan perkara itu, Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 41, turut mendakwa disebabkan sikap tidak bertanggungjawab Fattah, hidupnya menjadi sengsara hingga nekad untuk memfailkan perceraian.

“Keputusan ini diambil bukan sekejap. Sudah bertahun-tahun saya hidup dalam sengsara dan sudah berfikir panjang.

“Selama ini, saya ambil pendekatan mengunci mulut demi menjaga aib saya, Fattah dan masa depan anak, Nur Fatima Aisya.


“Disebabkan banyak sangat spekulasi, ingin saya jelaskan di sini punca perceraian pertama adalah Fattah abaikan nafkah saya dan anak selepas sekian lama.

“Kami juga tiada persefahaman, sudah lama tidak bahagia. Saya tertekan, namun saya tetap bertahan.

“Alasan ketiga yang menyebabkan saya tidak boleh terima adalah Fattah berlaku curang terhadap saya.

“Saya ada bukti Fattah curang,” katanya dalam linangan air mata,” katanya yang ditemui pada prosiding kedua kes perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, pelakon filem Dendam Pontianak itu menyangkal dakwaan dia memfailkan perceraian disebabkan tidak sekufu dengan Fattah.

“Saya sudah berkorban banyak untuk Fattah. Saya sediakan tempat tinggal, makan minum dan hadiahkan kereta Range Rover untuk keselesaannya.

“Kenderaan ini Fattah bawa naik wanita yang haram baginya.

“Jadi, dakwaan kata saya tidak sekufu dengan Fattah adalah tidak benar sama sekali. 

“Saya terima Fattah dan keluarganya seadanya. Kalau kami tidak sekufu, dari awal saya tidak berkahwin dengannya.

“Bagaimanapun, segala pengorbanan saya diambil kesempatan, itu yang membuat saya sangat kecewa. Saya kesal kerana banyak berkorban untuknya,” luah Fazura 

Terdahulu, Fattah dan Fazura bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.

Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh kira-kira jam 9.45 pagi.

Pada 13 September lalu, Fazura memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *