December 22, 2024

Gambar dari instagram Fazura

SHAH ALAM: Aktres Nur Fazura mendakwa dia dan anaknya, Nur Fatima Aisya tidak pernah merasa duit raya pemberian Fattah Amin sepanjang empat tahun.

Fazura berkata, dia pelik dengan apa yang berlaku memandangkan bekas suaminya itu berpendapatan besar hingga mencecah ratusan ribu ringgit di samping memperoleh pelbagai nilai penajaan tinggi daripada pelbagai jenama. 

“Ramai juga cakap, tak kasihan kepada Fatima? Sejujurnya, saya kasihan. Tapi, saya pun sedih. 

“Fatima, sepanjang empat tahun tak pernah merasa duit bapa, duit raya pun tak pernah.

“Saya sendiri sepanjang berkahwin dengan Fattah tak pernah merasa sekali pun duit raya pemberiannya.

“Memang seboleh-bolehnya saya tak mahu pisahkan Fatima dengan bapanya. Tapi, bagaimana nak hidup bersama kalau Fatima saksikan ibu bapa tak bahagia.

“Saya kena besarkan Fatima dengan mental yang baik, bahagia dan sebagainya. 

“Anda semua perlu tahu, penajaan Fattah beratus-ratus ribu dan pendapatannya mungkin mencecah setengah juta. Tapi, takkanlah tak boleh beri duit raya kepada saya dan Fatima,” katanya ditemui pada prosiding kedua kes perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pagi tadi. 

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Andartu Kosmopolitan itu secara sinis bertanya kepada Fattah adakah boleh terima jika anak perempuannya itu diperlakukan sama seperti apa yang dilaluinya sebelum ini.

“Saya nak tanya Fattah, kalau pasangan buat kepada Fatima seperti mana dia buat kepada saya, adakah bersetuju untuk teruskan dan okay dengan apa yang dilakukan?,” katanya.

Terdahulu, Fazura dan Fattah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas tujuh tahun berumah tangga. Lafaz talak itu dilakukan Fattah pada jam 9.45 pagi tadi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh. 

Pasangan selebriti itu berumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *