October 8, 2024

PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat pertikaman lidah membabitkan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyebabkan krisis poltik menyebabkan kerajaan perpaduan jatuh.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata ‘pergeseran kecil’ yang membabitkan pemimpin komponen kerajaan perpaduan tertentu merupakan cabaran biasa yang akan dihadapi mana-mana gabungan politik baharu.

Setiap koalisi pasti melalui fasa penyesuaian dan cabaran ini boleh dianggap sebagai peluang untuk memperkuatkan kerjasama, katanya.

Beliau berkata, ketegangan itu dapat ditangani melalui sesi dialog secara terbuka serta perundingan yang lebih konstruktif antara pemimpin Umno dan PH.

“Kedua-dua pihak perlu diberi ruang untuk memahami kepentingan bersama, mengurangkan retorik negatif, serta lebih fokus dalam memperkukuh agenda pembangunan negeri dan rakyat.

Dengan itu hubungan antara PH dan BN mampu diperkuatkan. Keutamaan ialah memastikan kerjasama berasaskan kepercayaan demi kestabilan jangka panjang, katanya.

Turut senada, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan yang berkata kerajaan perpaduan nasional tidak akan berpecah hanya kerana ‘percaturan politik’ ditimbulkan pemimpin parti komponen di peringkat bawah.

“Yang penting adalah di peringkat kepimpinan tertinggi itu masih melihat kerajaan perpaduan perlu dipertahankan.

Perselisihan tidak berlaku di peringkat tertinggi. Itu yang paling kritikal, katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata PKR dan Amanah bukan parti penting atau layak duduk semeja dalam permainan ‘poker politik’ di peringkat persekutuan mahupun Johor.

Katanya, Amanah dan PKR sering membuat tuntutan seolah-olah mereka parti dominan walhal parti cuba merebut peluang tanpa menyumbang secara signifikan.

Tulisan terbarunya itu berkait desakan segelintir ahli dalam PH supaya kerajaan perpaduan di Johor susulan kemenangan BN pada PRK Mahkota.

Ahad lalu, Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda menggesa penubuhan kerajaan perpaduan untuk mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat, selain kesepakatan pada kempen PRK terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *