December 22, 2024

Nabila dan suami, Nik Iruwan meluahkan rasa syukur dan teruja menanti kehadiran anak sulung pada Januari tahun depan.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengesahkan hamil anak sulung dan dijangka bersalin pada Januari tahun depan.

Berkongsi lanjut, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 32, dan suami, Nik Iruwan Nik Izani, 39, meluahkan rasa syukur serta teruja atas anugerah yang dikurniakan.

“Alhamdulillah, saya dan suami bersyukur dengan rezeki ini. Terima kasih atas doa dan sokongan. Ini adalah saat yang sangat membahagiakan buat kami.

“Kami juga tidak sabar untuk berkongsi perjalanan ini dengan semua yang sudah menyokong kerjaya dan kehidupan saya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Tangis itu, meskipun sedang sarat enam bulan hamil, namun kerjaya seni masih diteruskan dengan pelbagai perancangan menarik sudah dirangka. 

“Tidak dinafikan, sekarang cepat penat dan lebih banyak berehat. Sebelum ini bila bekerja susah nak berhenti. Sekarang saya rasa nak tidur sahaja.

“Namun, saya masih komited dalam bidang seni terutama beberapa kerja yang sudah dirancang lebih awal. Apapun, saya cuba untuk buat dengan sehabis baik,” ujarnya.

Nabila menambah, dia yakin fasa ini menjadi satu lagi episod indah dalam kehidupannya atas sokongan keluarga, rakan dan peminat setia.

“Fasa ini sebagai titik permulaan dengan kesyukuran dan kegembiraan. Setiap detiknya menjadi pengalaman berharga yang pasti akan diabadikan dalam memori kehidupan.

“Saya percaya bahawa fasa baharu ini menjadi cerita indah buat saya dan suami. Doakan semoga perjalanan kehamilan saya ini dipermudahkan sehingga bersalin nanti,” ungkap Nabila.

Berkongsi keadaan dirinya sepanjang kehamilan, pelakon drama Luruhnya Bunga Cinta 2 itu berkata, tiada perubahan ketara melainkan selera makan yang kian bertambah.

“Alhamdulillah, saya tidak ada apa-apa keinginan yang melampau dan alahan teruk. Hanya biasa sahaja. Kalau ada perubahan pun dari segi tenaga. Tapi, ia mungkin perkara biasa bagi wanita hamil. 

“Perkara lain, tentulah banyak makan. Selera makan bertambah-tambah. Apa pun, saya mahu nikmati saja perjalanan sepanjang kehamilan ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Nabila dan suami yang juga seorang usahawan selamat melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu pada majlis yang berlangsung di sebuah resort, di Bukit Tinggi, Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *