October 8, 2024

Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, Mohd Syahid Hanapiah,35, didakwa atas tuduhan mendera kanak-kanak yang berada di bawah jagaan satu daripada rumah berkenaan. Pertuduhan Penderaan terhadap kanak-kanak yang berkaitan GISBH di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor.- Foto NSTP/ASWADI ALIAS

SELAYANG: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak yang juga penghuni sebuah rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH).

Bagaimanapun, Mohd Syahid Hanapiah, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Syahid yang bekerja sebagai penjaga di rumah amal di Bandar Country Homes Rawang didakwa merotan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun hingga mungkin menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mencadangkan jaminan RM20,000 dengan tiga syarat tambahan iaitu dilarang berjumpa dan mengganggu mangsa, perlu melaporkan diri di balai berdekatan dan tertuduh mesti boleh dihubungi pada bila-bila masa oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Mohd Syahid yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia menghadapi masalah kewangan, kerja dan masalah keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta saksi kes, selain menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pada 11 September lalu, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan doktrin ketaasuban.

Susulan serbuan pertama itu, seramai 402 penghuni rumah amal berkenaan diselamatkan dan 171 individu berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan

Pada 26 September lalu, seorang warden sekolah agama milik GISBH dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas lelaki itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan ke atas tiga kanak-kanak sebuah sekolah agama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *