December 22, 2024

Foto dari instagram Fazura

KUALA LUMPUR: Tindakan pelakon Nur Fazura membalas ciapan pengguna platform X berkenaan isu rumah tangga dan kecurangan mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen.

Tanda tanya timbul berikutan Fazura sudah setahun tidak aktif dalam platform berkenaan.

Kali terakhir aktres jelita itu membuat ciapan pada Jun 2023.

Menerusi ciapan balas, pelakon dan usahawan itu menzahirkan rasa simpati terhadap individu dipercayai sedang berdepan dengan krisis rumah tangga.

“Assalamualaikum sis. Saya kirimkan pelukan dan kasih sayang yang kuat boleh diberikan.

“Moga terus tabah,” balas Fazura.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen mendakwa Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-27 itu seakan memberi petanda mengenai kemelut sedang berlaku antara dirinya dan suami, Fattah Amin ketika ini.

Pada masa sama, netizen memberikan kata-kata semangat buat pelakon Dendam Pontianak itu.

Terdahulu, Fazura atau nama lengkapnya, Nur Fazura Sharifuddin, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September lalu.

Difahamkan, permohonan dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Keputusan kes perceraian pasangan itu hanya akan diketahui 7 Oktober ini.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *