October 8, 2024

Bintang filem Tamil, Rajinikanth semakin stabil selepas menjalani prosedur elektif dengan pakar kardiologi intervensi, kelmarin.

CHENNAI: Bintang filem Tamil, Rajinikanth semakin stabil selepas menjalani prosedur elektif dengan pakar kardiologi intervensi, kelmarin.

Pada Isnin, seniman berusia 73 tahun itu dilaporkan dikejarkan ke Hospital Apollo di sini, selepas mengalami masalah perut.

Laporan media India menyebut, pihak hospital mendedahkan Rajinikanth mengalami bengkak pada aorta, saluran darah arteri besar yang membawa darah keluar dari jantung ke seluruh badan.

Beliau dirawat menggunakan kaedah transkateter tanpa pembedahan iaitu pemasangan katup jantung buatan, menurut portal berita Awani.

“Pakar kardiologi intervensi kanan, Dr Sai Satish, telah memasukkan stent ke dalam Aorta, sepenuhnya menutup bengkak tersebut (pembaikan endovaskular),” kata Dr R K Venkataslam, Pengarah Perkhidmatan Perubatan.

Pihak hospital turut mengesahkan prosedur berjalan seperti yang dirancang dan keadaan bintang filem itu semakin stabil.

Sementara itu, pemimpin politik termasuk Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin tidak ketinggalan menitipkan mesej buat Rajinikanth.

“Saya doakan rakan saya Rajinikanth cepat sembuh,” tulis Stalin dalam hantaran di platform X .

Selain itu, penggiat filem yang juga ahli politik R Sarath Kumar juga berdoa agar pelakon itu kembali sihat sepenuhnya.

Di halaman media sosial pula, peminat-peminat setia seniman itu terus menyatakan keprihatinan dan sokongan mereka dengan ramai yang berkongsi mesej dan doa ikhlas agar pelakon itu cepat sembuh.

Rajinikanth berada di Visakhapatnam baru-baru ini bagi menjalani penggambaran projek terbaharunya, Coolie, arahan Lokesh Kanagaraj.

Pelakon itu kembali ke Chennai minggu lalu untuk menghadiri pelancaran audio sebuah lagi filem, Vettaiyan yang akan ditayangkan pada 10 Oktober ini. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *