October 8, 2024

TANGKAP layar video tular di media sosial

Johor Bahru: Pertengkaran pasangan kekasih dipercayai punca pergaduhan sekumpulan lelaki dan wanita di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Bayu Puteri di sini, pagi tadi.

Rakaman video berdurasi satu minit 27 saat memaparkan kumpulan individu itu bergaduh dengan kayu dan besi turut tular di media sosial. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 28 tahun.

“Polis mengesahkan kejadian itu berlaku pada 1.15 tengah hari semalam. Bertindak atas maklumat, polis menahan enam individu iaitu tiga lelaki dan tiga wanita.

“Kesemua suspek berusia 28 hingga 32 tahun ditahan di sekitar bandar raya ini pada 11.05 pagi tadi,” katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Beliau berkata, punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham antara pasangan kekasih apabila lelaki berusia 32 tahun bertengkar dengan wanita berusia 30 tahun ketika mahu berjumpa dengan anak mereka berusia dua tahun.

“Polis giat menjalankan usaha mengesan beberapa suspek lagi yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

“Semakan rekod lampau kesemua suspek mendapati lima daripada suspek tiada rekod lampau jenayah, manakala suspek lelaki (kekasih kepada suspek wanita) mempunyai lima rekod lampau kes penyalahgunaan dadah,” katanya dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *